Pada 27 Jun 2019, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SEKURAU telah mengadakan Majlis Perasmian Bilik Terapi Multisensori. Bilik ini merupakan pendekatan multisensori sesuai bagi mereka yang mengalami disleksia khususnya membantu menguasai kemahiran membaca. Selain masalah disleksia, terapi multisensori juga membantu kanak-kanak yang bermasalah seperti autisme, epilepsi, pembelajaran, sindrom Down, hiperaktif dan kelengahan global. Kaedah multisensori adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran serentak yang menjurus kepada aplikasi visual, auditori dan kinestetik-taktil. Malah kaedah terapi ini antara pendekatan berkesan untuk merangsang perkembangan minda kanak-kanak berkeperluan khas menerusi lima rangsangan asas iaitu penglihatan, pendengaran, sentuhan, bau, rasa dan rangsangan sendi.
Bilik Terapi Multisensori ini telah dirasmikan oleh Pn. Eni Zanirah Binti Mohd Jaberi, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, JPN Perak. Turut hadir Tn. Hj. Ahmad Fisal Bin Shafeei, AMP, PPT, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, pengetua-pengetua dan guru besar-guru besar, pegawai-pegawai PPD Kerian, guru-guru dan pelajar-pelajar.
0 ulasan:
Catat Ulasan